Percaya Diri



Hidup ini adalah tentang kepercayaan. 

Percaya yang menjadikan diri kita itu adalah kita. Hatta, sesuatu yang kita tidak mampu untuk gapai pun akan kita capai sekiranya kita yakin dengan diri sendiri. Cepat atau  lambat itu tergantung bagaimana kita berserah kepada Yang Maha-Mendengar. 

Aku bersyukur menjadi Shafik yang tidak pernah menyalahkan takdir. Sungguhpun Tuhan meletakkannya di posisi terendah, membesar jadi kanak-kanak yang tidak pernah ada apa yang dimahukannya. 

Perihal itu yang menjadikan siapa aku hari ini. Tidak pernah meminta-minta kerana tahu apa maknanya ‘KITA TIADA’. Kalau aku ceritakan pada siapa pun, mana mungkin ada yang percaya.

Aku tenggelam dalam rasa hingga tiada siapa mampu menyelaminya. Menyedihkan tapi aku melaluinya sebagai aku. Aku bangga aku pernah menjalani suatu kehidupan yang tidak akan pernah terbangkan oleh siapa pun. 

Aku masih syukur masih ada tempat untuk kami berteduh walau  adakalanya titisannya memasuki ruang-ruang teratak usang kami. Aku masih lena tidur beralas cebisan-cebisan kain yang disatukan dan berselimutkan keperitan ibubapa yang bermandikan keringat tiap hari demi sesuap nasi. Kami nikmati keperitan itu dengan sabar. 

Aku sederhana dalam akademik, pernah juga merasa jadi yang tercorot. Tapi tiada apa yang mampu mematahkan semangatku. Aku tahu sakitnya gagal. Tapi masih yakin, suatu hari nanti aku akan mengubah banyak hal dalam kehidupanku. ‘Tiada apa yang mustahil’, aku percaya itu. 

Aku mendewasa menjadi manusia yang kaya dengan angan-angan, aku tidak pernah takut untuk bermimpi. Aku tidak sekali pernah mengalah walaupun aku selalu disinggahi kegagalan dan kekecewaan. Aku percaya, itu adalah perisa kehidupan yang perlu aku jalani sekiranya aku mahu terbang lebih jauh lagi.

Tuhan itu hebat-Nya luar biasa, Dia mendengar setiap doa-doaku sungguh sekerdil apa pun aku. Tuhan yang mencukupkan, melengkapkan dan menjadikan aku selayaknya apa yang aku impikan. Cukup itu, aku syukuri semua nikmat-Nya. 

Aku belum berjaya, masih terlalu jauh untuk mendefinisikan diriku sebagai seorang yang BERJAYA. Tapi aku masih tetap syukur kerana Tuhan kurniakan aku dengan hati yang kental.




Comments

Popular posts from this blog

Beranilah Ketika Kehilangan.

Disneyland di Hong Kong.

sehari di Bandung