Dari Switzerland, Germany hingga ke Milan

Inilah ceritaku yang cuba mencari ketenangan. Hasratku membawa diri keluar dari semua kekusutan, akhirnya menerbangkan aku ke tempat yang aku fikir 'terpaling healing' di dunia, rupanya lokasi percutian termahal di abad ini. haha

Mari aku ceritakan bagaimana kisahnya bermula. Memandangkan aku bekerja sebagai seorang cabin crew di AirAsia, aku ada advantage untuk terbang ke mana-mana Airasia Station dengan harga diskaun. Jadi aku pun mulakan misi aku cari tiket untuk terbang ke Switzerland secara hybrid. Tapi sebelum itu, aku pilih Swiss sebab ada Kak Tasha, kakak angkat aku sama-sama fly 9 tahun lepas. Memandangkan aku pun membawa bersama hati yang rawan, aku pun bagitau kak Tasha aku berhasrat untuk melawat dia dekat Swiss, dia pun tersangatlah excited untuk buat preparation. 

Jadi berbalik kepada cerita misi tadi, aku cuba cari tiket penerbangan ke Zurich, Swiss yang termurah ada di negara mana (Asian Country yang ada station Airasia). Jadi aku cuba cari dari Kuala Lumpur, Taipei, Hong Kong, Singapore, Jakarta dan lain-lain. Setelah membandingkan harga semua negara-negara ni, terbang dari Jakarta adalah yang termurah. Masa tu aku boleh save hampir RM2000 berbanding station-station lain. Harga tiket penerbangan aku adalah RM2, 880 untuk dua hala, berbanding dari Kuala Lumpur hampir RM5000 ringgit.

Sejujurnya, plan asal aku mahu pegi umrah untuk kali yang ke tiga, tapi dengar khabar Mekah dan Madinah tengah sesak masa tu sebab bulan Ramadhan. Jadi aku fikir punya fikir, memandangkan kak Tasha pun sudah buat preparation kedatangan aku, aku teruskan sajalah plan ke Swiss. Walaupun perjalanan aku ni gamble dan tiada persiapan lengkap. Aku adalah buat sedikit listing tempat-tempat 'healing' wajib untuk dilawati. Tapi aku tahu, plan hanyalah sekadar plan. Aku pula #SoloTraveller, plan bila-bila aku boleh ubah ikut mood aku.

Jadi aku pun mulakanlah perjalanan dengan total duit poket RM4000 yang telah di-convert-kan ke Euro sebab kesuntukkan masa, Swiss Franc tidak mencukupi stok katanya. Dari kuala lumpur aku ke Jakarta dengan penerbangan Airasia sekitar pukul 2 petang dan seterusnya penerbangan ke Swiss sekitar 9 malam di bulan Ramadhan. Musafir jugalah tapi selagi boleh berpuasa, aku akan berusaha untuk terus berpuasa. 


Setiba aku di Jakarta aku terus menaiki penerbangan Turkish Airlines. Sebelum ni ada few times jugalah naik airlines ni, macam sebelumnya makanan yang disediakan Turkish Airlines tidak pernah mengecewakan. Aku boleh bagi 5 bintang walaupun aku duduk dekat economy class makanan macam Business class Malaysia Airlines. portion dahlah banyak, makanan pun sedap dan memang Turkish Airlines ni selesalah untuk penerbangan long haul. Penerbangan dengan Turkish Airlines akan transit selama 3 jam di Istanbul Airport, jadi aku sempatlah qada solat dan window shopping dekat airport. Setiba aku di Zurich Airport, kak Tasha dan family dia (Abang Stefan & Joaqim) sambut aku di pintu ketibaan. Alhamdulillah, kami teruskan perjalanan selama dua jam ke Basel, Swiss tempat kak Tasha dan keluarganya menetap.



Tiba di kediaman kak Tasha, aku decide untuk terus berjalan keluar sekitar kawasan Basel dengan kak Tasha. Tidak jauh dari rumah Kak Tasha, 5 minit berjalan kaki untuk sampai ke train stop pertama Stallen Oberwil. Aku fikir agak convenient-lah untuk aku memulakan gerakan solo aku nanti. Kak Tasha pun brief-lah sedikit-sebanyak mana-mana train yang perlu aku ikut untuk memudahkan perjalanan aku nanti. Walaupun aku boleh menggunakan Google Map, tapi ada pentingnya juga ambil tahu untuk backup kalau phone lowbat atau sebagainya. 

Perjalanan kami tidak hanya di town of Basel. Kak Tasha terus bawa aku dengan train (masa perjalanan sekitar setengah jam) ke Weil Am Rhein, Germany, ini adalah land border diantara Switzerland dan Germany. Biasanya kak Tasha akan shopping barang-barang keperluan harian dan lain-lain di Muller, Weil Am Rhein kerana harga barang keperluan asas di sini lebih murah berbanding di Switzerland. Kami habiskan seharian di Jerman untuk membeli makanan-makan ringan, chocolate dan lain-lain. 




Menariknya Basel kerana tempat ini lebih tenang dan chill. Cafe & pastries serta architecture lama  yang menarik. Hari pertama aku dah shopping dekat Zara sebab Zara dekat Swiss agak murah berbanding di Malaysia. Aku spent sekitar RM400 untuk 1 t-shirt, 1 sweater dan 1 jeans. Section yang ber-taging merah la ya, tapi still murah. 

Aku decide untuk beli Swiss Pass. Swiss Pass ni sangatlah penting kalau travel di Switzerland sebab transportation costs dekat Swiss ni terlalu mahal. Samalah juga dengan costs of living dekat sini, memang agak mahal. Jadi aku spend sekitar RM1400 untuk 6 hari perjalanan di sini, dibandingkan dengan harga sehala perjalanan tanpa Swiss Pass boleh mencecah RM500 ringgit sekali perjalanan. Jadi Swiss Pass is a must for traveller yang datang ke Swiss. 



Hari ke dua di Swiss, aku teruskan perjalanan aku ke Zermat secara solo. Zermat ni adalah tempat wajib untuk dikunjungi kalau ke Swiss kerana inilah simbolik kita sudah sampai di sini. Lokasi ini terlalu indah untuk aku gambarkan, keindahan panorama sepanjang perjalanan di dalam 'Panoramic Train' yang sangat selesa dan berteknologi tinggi. Aku umpamakan train ke Zermatt ini seumpama roller-coaster , kerana train ini berupaya mendaki gunung-ganang, menuruni cerun-cerum serta melalui terowong-terowong dan merentasi sungai-sungai, air terjun yang tersangatlah indah. Aku fikir ini adalah harga Swiss Pass tu, cukup berbaboi untuk membayar semua pengalaman yang aku dapat.
 


Melangkah keluar sahaja daripada train station di Zermatt, aku dapat melihat pergunungan terindah di Swiss ini iaitu Matterhorn. Matterhorn adalah tumpuan pelancong dari seluruh pelusuk dunia untuk ber-ski. Sementara di bawah pergunungan ini terdapatnya bandar kecil yang menempatkan hotel-hotel, cafe, restoran, rumah-rumah, butik-butik pakaian dan banyak lagi. Binaan-binaan di sini juga cukup menarik perhatian dan unik kerana aku boleh umpamakan aku sedang berada di sebuah cowboy town yang bebas pencemaran udara. Tarikkan utama pelancong dan juga penduduk asal di sini adalah untuk bermain ski di kawasan pergunungan Matterhorn, selain sekadar sightseeing dan duduk di cafe-cafe menikmati keindahan alam. 


Di pergunungan Matterhorn aku terus berjalanan mencari station untuk aku sampai ke puncak. Sekitar 30 minit aku mengekori pelancong-pelancong lain yang lengkap dengan suit dan peralatan bermain ski, akhirnya aku sampai ke station cable car. Di station ini terdapat ticketing counter untuk kita membeli ticket. Disebabkan aku adalah pemegang Swiss Pass, aku entitle untuk dapat 50% diskaun menaiki cable car (selepas diskaun sekitar RM150). Terdapat 4 station untuk ke Matterhorn, aku memilih untuk sampai ke station yang ke tiga, mengambil kira budget (harga setiap station berbeza-beza), dan di station ke tiga ini ada panorama Matterhorn yang cantik dan juga menempatkan sebuah cafe. Aku habiskan seharian di Zermatt dan pulang semula ke Basel sekitar 6 petang dan hanya sampai di rumah pada 10 malam. Perjalanan turun seumpama roller-coaster itu tidak aku siakan, aku menikmati perjalanan itu dengan senikmat-nikmatnya. 

Hari yang ke tiga, setelah berbincang dengan kak Tasha dan abg Stefan aku mengambil keputusan untuk keluar overnight di beberapa kawasan lain di sekitar Switzerland. Plan asal aku, aku sepatutnya menuju ke Burn, Thun dan Spiez dari station utama Basel iaitu SBB station. Tapi aku ubah plan aku masa aku berada dalam train sebab last destination train tersebut ialah Milano Centrale. Aku sempat text kak Tasha betulkah aku berada di dalam train menuju ke Milan atau tidak. Kemudian, aku confirmkan perjalanan tersebut kepada train officer dan dialah yang tolong aku beli tiket tambahan aku keluar border Switzerland ke Italy yang hanya berharga sekitar RM100 disebabkan aku adalah pemegang Swiss Pass.

Sepanjang hampir 4 jam perjalanan aku buat research mana-mana hotel di Milan yang aku boleh stay malam nanti dan aku boleh katakan harga accommodation di Swiss and Milan, aku boleh berjimat hampir 50%. Setiba aku di Milan, aku habiskan banyak masa dan hari menikmati bangunan-bangunan di Doumo. Bangunan yang pernah menyimpan kenangan dan mempunyai makna yang besar dalam hidup aku. Aku berjalan menikmati perjalanan aku di Milan dari satu butik ke satu butik, dari satu building ke satu building. Aku cuba belajar untuk memahami tidak semua yang kita harapkan dalam hidup kita akan menjadi kenyataan, tapi mungkin Tuhan akan beri kita sesuatu yang terbaik untuk kita. Apa yang kita perlukan adalah kepercayaan dan keberanian. Sama macam perjalanan aku, aku merancang dan apa yang berlaku tidak pernah pun aku terfikirkan. Tapi aku bersyukur, aku gembira dan aku menikmatinya.

Tiga hari, dua malam aku habiskan di Milan, Italy sendirian. Aku pulang semula ke Basel, tapi sebelum aku memasuki Swiss aku perlu berhenti di Domodossola, Italy untuk membuat tuntutan pengesahan kastam Tax Refund. Pengesahan hanya boleh dibuat di sini sebelum kita memasuki Swiss, kalau tidak aku tidak akan dapat membuat tuntutan apabila aku pulang semula ke Malaysia. Domodossola, Italy ini adalah sebuah bandar kecil yang dikelilingi pergunungan, penduduknya tidak ramai dan bangunan-bangunannya juga unik-unik. Hujan renyai-renyai agak menghalang perjalanan aku di sekitar Domodossola. Walau pun hanya untuk sejam, aku percaya pasti ada sesuatu yang menarik tentang Domodossola, Italy ini. 

Hari terakhir aku di Swiss, aku habiskan bersama kak Tasha. Kami keluar disekitar Basel City dan Weil Am Rhein, Germany pada saat-saat akhir, kami habiskan masa dengan mengambil gambar dan menikmati suasana tenang di sekitar Basel. Waktu dinner kami keluar bersama abg Stefan & Joaqim untuk makan malam di sebuah restoran Italy (kalau convert ringgit sekitar RM800), thank you abg Stefan for the treat. Aku pulang diiringi lambaian pulang dan airmata kak Tasha di SBB train station ke Zurich Airport, penerbangan aku sekitar 6 petang waktu tempatan di Swiss. Perjalanan aku mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit dan aku tiba di Airport betul-betul tepat pada masanya. 

Setiba aku di Istanbul Airport untuk 3 jam transit, aku duduk di sebentar di ruang rehat dan memerhatikan gerak-geri manusia yang mengerumuni papan masa penerbangan dan berfikir sejenak. Selama ini, aku pernah bergantung pada sesuatu yang aku tidak pasti, aku meletakkan harapan yang tinggi untuk orang yang aku sanjungi, tapi hari aku berjaya membuktikan yang aku berupaya dan mampu untuk berdiri sendiri tanpa bertongkatkan orang lain. Mungkin hati kita terasa beban melepaskan tanpa kita relakan, tapi percayalah satu hari nanti kita akan menoleh semula kebelakang dan bersyukur kerana ianya terjadi dan semuanya telah pun berlalu. 

Instagram : @shafikgoliaman







Comments

Popular posts from this blog

Beranilah Ketika Kehilangan.

Disneyland di Hong Kong.

sehari di Bandung