8 Hari Menjadi Tetamu Allah



Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah dengan limpah kurnianya Shafik selesai mengerjakan umrah buat pertama kalinya. Sejujurnya, Shafik tidak merancang sejauh ini pada usia 27 tahun, keinginan itu ada tapi belum mampu. Tetapi inilah, apabila Allah mengkehendaki sesuatu, kita tidak dapat menghalangnya. Shafik menganggap ini sebagai satu hidayah dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah dengan penuh pengajaran. Allah menjadikan sesuatu tidak sia-sia, sesuatu yang berlaku itu dengan sebab-sebabnya yang tersendiri. Allah begitu berhikmah menunjukkan kekuasaan serta kebesarannya. Harapan Shafik semoga ibadah yang sudah Shafik lakukan ini diterima Allah dan mengharapkan terus hidayah dan petunjuk daripada Allah sehingga ke akhir hayat dan dimatikan kelak dalam iman.

Kita ini manusia biasa yang tidak pernah terlepas dari melakukan salah dan dosa. Tetapi Allah itu sifat-Nya Maha-pengampun. Pastinya, kita mengharapkan keradaan Allah sepanjang masa dan tidak kira di mana juga kita berada. Dan sekiranya esok kita terlupa akan kebesarannya, semoga ada syafaat untuk kita kembali ke jalan yang diredai-Nya agar kita tidak terus hanyut.

Berbalik kepada cerita mengenai pengalaman Shafik berada di Kota Makkah dan Kota Madinah selama 8 hari 8 malam secara bersendirian adalah satu perjalanan yang tidak disangka-sangka kerana perjalanan ini bukanlah suatu perjalanan yang dirancang rapi. Persiapan yang Shafik buat tidak sampai pun sebulan. Alhamdulillah, Allah lebih mengetahui segala yang berlaku di langit dan di bumi. Ini adalah hidayah dalam bentuk rezeki yang Allah berikan kepada Shafik. Shafik sedar akan diri ini yang selalu berbuat salah dan sering mengingkari perintah Allah tetapi Allah itu terlalu baik. Besarnya kekuasaan Allah itu, Dia memberikan Shafik suatu pengalaman yang luar biasa dan mungkin tidak semua orang dapat merasainya. Subahanallah.

Sebelum Shafik bercerita lebih panjang lagi, ingin Shafik menegaskan bahawa apa yang Shafik tulis ini adalah satu cerita berdasarkan pengalaman Shafik sendiri dan bukan berniat untuk bersifat riak, menunjuk-nunjuk, jauh sekali mahu “budget alim”. Shafik ini hanya manusia yang kerdil dan tidak lepas dari melakukan dosa. Niat hati hanya ini berkongsi pengalaman dan semoga cerita boleh memberikan manfaat serta inspirasi kepada kalian yang membaca. Shafik ingin semua orang juga menanamkan impian dan niat yang sama. Memetik quote yang lebih kurang berbunyi; “Allah tidak menghantar orang yang kaya tapi Allah akan menghantar orang yang mahu”, begitu sesuai sekali dengan apa yang Shafik cuba sampaikan dalam cerita kali ini. (Bersangka baiklah ya.)

Bagaimana agaknya semua ini bermula?

Ini semua tercetus dari tiket promosi Malaysia Airlines ke Jeddah pada bulan November lepas. Shafik dapat tahu promosi tersebut melalui aplikasi Whatsapp keluarga. Ketika itu, Shafik baru sahaja sign off flight Shenzhen. Ada terfikir juga untuk cuba nasib di website Malaysia Airlines pada masa itu, tapi keletihan yang amat jadi Shafik tidak endahkan sangat awalnya. Tapi rasa mahu itu ada. Lebih kurang sejam selepas itu, Shafik sudah bersiap sedia untuk berehat, rasa lebih kuat pula rasa ingin mencuba. Menggapai laptop yang ada sisi katil.

Percubaan pertama Shafik harga penerbangan lebih kurang RM10,000, lupakan! Tapi rasa untuk melakukan percubaan kedua itu masih kuat. Pirasat mengatakan mungkin promosi itu sudah berlalu atau mungkin scam yang tidak boleh dipercayai. Mana mungkin tiket flight 8-9 jam semurah itu. Okay tidak apa, kalau kita cuba lagi harga tetap sama mungkin bukan rezekilah. Percubaan kedua Shafik dengan mempertaruhkan tarikh 17 sehingga 26 Januari. Ya Allah, seriously? Tiket flight berharga masing-masing RM69 pergi dan balik. Total kos-kos lain dan tax sekali RM409. Hati mula yakin ini rezeki Shafik lah. Sekarang cabaran untuk tembus membuat pembayaran. Berulang kali mencuba namun gagal. Okay lah Shafik berkata dalam hati, ini adalah percubaan menekan butang proceed yang terakhir. Kalau gagal juga, hasrat ini akan dilupakan.

…Dan akhirnya, selepas mungkin lebih 7 ke 8 kali, skin menunjukkan paparan untuk memilih kaedah pembayaran. Alhamdulillah, Shafik Berjaya tembus untuk membuat pembayaran melalui Direct Debit dengan harga semurah itu. Selesailah di situ, tiket tersebut telah confirmed pada tarikh 19 November 2016.

December berlalu.

Shafik seolah-olah belum nampak ada jalan kearah itu. Maklumlah, Shafik merasa belum cukup baik untuk berada di tanah sesuci Tanah Haram. Di samping itu, kerap kali disogokkan dengan berbagai-bagai cerita negatif seperti “dosa atau kesalahan yang dibayar cash” dan sebagainya. Sedikit-sebanyak memberikan effect kepada keinginan untuk menjadi tetamu Allah belum masanya.

Adalah sekali dua Shafik cuba tapi tidak menampakan hasil. Pernahlah sekali meminta bantuan daripada hamba Allah yang beriya-iya mahu membantu awalnya, tapi hampa apabila whatsapp teks pun tidak dibalas. Tidak mengapalah, mungkin sibuk kerja agaknya. Tapi, tabiat seperti ini tidak wajar ada dalam kalangan kita. Ingat semua, kalau boleh katakan boleh, kalau tidak apa salahnya kita berterus terang. Menolak itu mungkin lebih baik daripada kita bercakap-cakap “itu ini” di belakang tanpa pengetahuan “tuan badan”.  Tidaklah Shafik tertunggu-tunggu dan mengharap. Maklumlah, hamba Allah ini siap suruh ambil cuti 10 hari untuk proses permohonan Visa Umrah. Cuti sudah confirm, boss sudah approved. Dapat Emergency Leave pula tu atas alasan Performing Umrah. Susah tau cabin crew dapat cuti, annual leave setahun kami cuma ada 14 hari. down jugalah perasaannya, lebih-lebih lagi sampai cerita bukan-bukan ke telinga kita. Tidak mengapalah, tidak perlulah berprasangka, sudah pun diri kita ini bukan siapa-siapa. Mungkin Allah ada perancanga yang lebih baik. In Sha Allah.

Sehingga satu hari Shafik seringkali merasa ada sesuatu yang membuat hati terdetik tentang ini. Tertanya-tanya “kenapa agaknya aku tidak pernah berusaha untuk yang ini?”. Shafik mula percaya keolah-olah ini adalah hidayah, Allah pasti akan memberikan jalan. Berbagai juga cara Shafik usahakan lakukan kurang sebulan ke tarikh 17 Januari 2017.

Scroll Facebook, pasal pakej-pakej umrah. Shafik macam nampak jalan. Try call; Shafik menerima pelbagai maklum balas. Tarikh tidak sesuai, masa perjalanan yang pendek dan macam-macam lagilah. Down jugalah. Kemudian, ada juga agen yang advice untuk ambil pakej VIP. Tapi harga tidak confirm lagi katanya. Okay, Shafik positif lagi cubalah google manatau ada caranya. Google punya google, cuba pula call kedutaan Arab Saudi di Malaysia. Tapi katanya, tidak ada harapan kalau berseorangan. Kecewa lagi.

Dua tiga hari selepas itu, Mama angkat Shafik Lim Zalimah bagi buah fikir. Apakata Shafik cuba rujuk pada salah satu agensi Umrah terbesar di Kota Kinabalu, manatahu mereka dapat membantu. Alhamdulillah! Setelah merujuk kepada orang berkepentingan dalam agensi tersebut, Shafik seolah-olah nampak jalan tapi belum pasti. Beberapa minggu selepas itu, hamba Allah yang berhati mulia ini menghubungi Shafik untuk membantu Shafik melakukan permohonan Visa di atas agensi mereka. Justeru itu, pengurusan Visa akan diuruskan oleh mereka manakala tempahan hotel serta pengangkutan akan diuruskan sendiri oleh Shafik. Selain itu, Shafik perlu mendapatkan pengesahkan daripada doktor berdaftar telah mendapat  suntikan ACYW135. Masa semakin suntuk, minggu seterusnya Shafik berusaha menyediakan semua yang diperlukan tanpa berlengah dan akhirnya,  dokumen yang diperlukan sedia untuk dihantar pada 29 December 2016. Syukur, Shafik hanya perlu tawakkal dan berserah kepada Allah, Shafik menerima ketentuan Allah dengan hati terbuka walaupun sudah lebih 2 minggu cuti bekerja.

Allah Maha-besar.

Dengan nama Allah yang Maha pengasih lagi Maha pemurah. Pada 11 Januari, Shafik mendapat perkhabaran gembira. Kedutaan Arab Saudi memberi kelulusan kepada Shafik untuk menjalankan Ibadah Umrah dalam tempoh 30 hari sah bermula tarikh Visa berseorangan. Perasaan bercampur-baur, hati semakin kuat mengatakan ini semua adalah rezeki dari Allah. Sungguhpun hati mula berdebar tapi Shafik yakin bahawa apa yang berlaku ini adalah kehendak Allah dan Allah memilih Shafik sebagai tetamu-Nya, mesti ada sesuatu yang Allah mahu tunjukkan dan semuanya akan baik-baik, In Sha Allah.

17 Januari 2017.

Shafik terbang dari Kota Kinabalu pada pukul 7.05 minit pagi. Allah itu maha pemurah, macam-macam cara Allah berikan rezeki untuk dijadikan bekalan di sana nanti. Rezeki juga datang tanpa diduga. Hati bertambah yakin semuanya akan baik-baik. Shafik tidak pernah mengharapakan lebih, sekadar cukup itu memadai. Tapi Allah lebih mengetahui dan Dia yang menentukannya. Sebaik-baik pengatur itu adalah Allah, Dialah yang mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Kita hanya mampu merancang apa yang termampu dengan harapan apa yang dirancang itu berjalan dengan baik.

Memasuki penerbangan MH 150 ke Jeddah. Hati semakin berdebar dan fikiran pada ketika itu bercelaru. Kondisi tahap kesedaran Shafik adalah 50/50. Masa itu, Shafik terfikir bagaimana agaknya semua ini bermula dan semua ini berakhir. Tapi sekali lagi Shafik meyakinkan diri bahawa Allah yang mengkehendaki ini, pastinya Allah mempunyai rencana yang baik di sana nanti kerana Shafik percaya bahawa Allah yang mengaturkan semua ini.

Shafik terbang dari Kuala Lumpur dengan siap berihram kerana perancangan Shafik setiba di Jeddah Shafik akan terus menaiki bas menuju ke Mekah. Niat hati Shafik ingin menyelesaikan dahulu apa yang yang wajib dan kemudian barulah berfikir tentang hal-hal yang lain seperti ziarah dan sebagainya. Itu pun bergantung pada rezeki kerana Shafik belum ada cara bagaimana untuk melakukan ziarah dan sebagainya.

Menjejakkan kaki di Jeddah Hajj Terminal.

Ya Allah. Hari berdebar-debar tetapi tetap teguh, yakin dan percaya. Kuasa Allah mengatasi segalanya. Shafik dipertemukan dengan satu keluarga yang sama seperti Shafik. Mereka terbang ke Jeddah dengan tujuan sama, matlamat yang sama iaitu ke Makkah untuk menunaikan Umrah. Ibu, Atika dan suaminya Syakir.

Allah takdirkan untuk bertemu dengan insan-insan sebaik ini. Ketika Shafik dalam kerisauan untuk memulakan perjalanan Allah aturkan pertemuan dengan mereka diperkarangan Terminal Hajj, Jeddah Airport. Shafik beranikan diri bertanya kemana hajuan perjalanan dan tujuan mereka datang. Subahanallah, Allah Maha-besar. Atika offer Shafik untuk naik teksi sekali ke Makkah kerana saudara mereka yang ditunggu tidak muncul lagi mungkin sesat di airport yang lain. Bermula di situ Shafik menceritakan apa sebenarnya yang berlaku sehingga Shafik boleh sampai ke Jeddah seorang diri.

Pada ketika itu, Shafik beritahu kepada Syakir, Atika dan Ibu yang Shafik pun tidak tahu bagaimana Shafik sendiri tidak percaya bagaimana Shafik boleh berada di sini hari ini, bersendirian. Alhamdulillah, mereka terkejut tapi dilihat tetap percaya. Keluarga ini turut sama seperti Shafik datang sendiri tanpa agensi bersama-sama mereka. Malam itu, Syakir yang turun berpakaian Ihram memberitahu sebaik tiba di hotel nanti mereka akan terus ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf. Shafik lega lagi kerana Syakir offer Shafik untuk bersama-sama dengan mereka melakukan tawaf kami yang pertama.

Setiba di Makkah, kami pun membaca doa dan bertakbir menandakan kesediaan kami untuk memasuki Tanah Haram. Teksi terlebih dahulu membawa keluarga Syakir ke hotel mereka yang tidak jauh dari Masjidil haram. Kemudian barulah menghantar Shafik pula. Rupanya hotel yang Shafik book melalui Booking.com agak jauh pula dari Masjidil Haram dan pelbagai rasa mula menyelubungi fikiran Shafik. Lebih kurang 30 minit berjalan, pemandu teksi masih gagal mencari hotel tersebut. Shafik bertambah risau. Namun, ada hikmah disebalik apa yang berlaku ini. Mungkin Allah mahu Shafik berzikir kepada-Nya dan mohon perlindungan serta dipermudahkan untuk melaksakan ibadah di sini.

Shafik teringat mama Shafik dan mama angkat Shafik Lim Zalimah ada mengirimkan Shafik beberapa zikir, selawat dan doa Nabi Nuh (ketika berada di dalam perut ikan paus) melalui aplikasi whatsapp dan Alhamdulillah, semua ini membantu hati Shafik untuk lebih tenang dan berserah sepenuhnya kepada kekuasaan Allah. Alhamdulillah dengan berkat memohon dan berdoa akhirnya sampai ke hotel. Mengalir juga airmata dalam usaha pemandu teksi mencari lokasi hotel di sekitar Al Aseel, Makkah. Acap kali juga pemandu itu meminta maaf kepada Shafik. Tapi Shafik percaya ini adalah dugaan kecil sebagai seorang musafir. Berbalik kepada peranan kita sebagai tetamu Allah tadi, Allah ingin mengingatkan kita untuk selalu berzikir dan bersolawat serta memohon kepada-Nya. Mungkin ini cara Allah memberi peringatan kepada Shafik. Maklumlah, masuk rumah Allah pun persiapan tidak cukupkan? Samalah kita andaikan kita berkunjung ke rumah saudara-mara atau kawan-kawan, sebaik-baiknya kita bawalah buah tangan sebagai tanda berbesar hati. Begitulah juga apabila kita berada di sini.

Setelah selesai check in, Shafik terus bersiap sedia untuk ke Tanah Haram melakukan tawaf yang pertama. Shafik dapat teks whatsapp daripada Syakir yang mereka telah pun selesai tawaf mereka untuk malam ini. Jadi, Shafik yakinkan diri “everything gonna be fine”. Yakin Allah pasti akan bantu. Untuk sampai ke Masjidil Haram, Shafik perlu menaiki bas SEPCO milik kerajaan Arab Saudi dan bas tersebut adalah shuttle percuma untuk hotel-hotel berdekatan. Alhamdulillah, mudah juga pergerakan di sini.



Setiba di Masjidil Haram, terus memasuki masjid dan perkara pertama yang Shafik cari adalah Kaabah. Subahanallah! Menitis airmata sujud betul-betul di hadapan Kaabah. Shafik meneruskan dengan bacaan doa melihat Kaabah dan doa memasuki Masjidil Haram. Kemudian, solat tahiyatul masjid 2 rakaat. Setelah selesai Shafik teruskan dengan niat tawaf dan memulakan tawaf 7 kali dan berdoa. Perasaan pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Selesai tawaf Shafik teruskan dengan Saie. Dalam perjalanan Shafik melakukan Saie itu, Shafik ditegur oleh seorang hamba Allah di pertengahan jalanan. Dia bertanya kepada Shafik kalau Shafik boleh berbahasa Inggeris. Kemudian, dia bertanya buku apa yang Shafik sedang baca. Shafik menjawab, ini adalah buku doa. Dia berkata lagi lebih kurang begini, “sekiranya kamu ingin berdoa, mintalah dari hati. Berdoalah sepenuh hati kamu”. Selepas itu, Shafik cuba lupakan buku doa tersebut. Kemudian, mula menutup mata sambil berjalan dan berdoa sepenuh hati. Ya Allah, airmata mengalir tidak tertanggung lagi. Teresak-esak sambil berjalan. Setelah selesai Saie 7 kali, ada 2 lagi hamba Allah menunggu di penghujung jalan bersama gunting. Salah seorang daripada mereka memanggil Shafik dan menunjukkan isyarat ingin menggunting rambut Shafik. Subahanallah, kekuasaan Allah. Bagaimana hamba Allah tadi tahu yang Shafik telah selesai melakukan Saie. Hebatnya kuasa Allah.

Setelah selesai, Shafik pun berhasrat untuk pulang. Tapi pusing-pusing sesat pula dalam masjid. Haha. First time kan.. Shafik tawakkal lagi, kenapa agaknya boleh tersesat. Shafik kemudian duduk di sisi masjid dan kemudian melakukan solat sunat taubat. Sambil bersungguh-sungguh memohon keampunan daripada Allah. Airmata jangan katalah. Ya Allah susah digambarkan dengan perasaan tatkala kita berasa benar-benar berada dengan dengan Allah. Selesai solat Shafik berdiri tenang, jumpa selipar yang hilang dan menemui jalan pulang. Subahanallah..

Shafik dan Ustaz fahmi
Hari kedua.

Shafik tidak sempat solat Subuh di Masjid, sedih juga perasaan. Mungkin kerana terlalu letih semalam. Sekitar pukul 8 pagi Shafik terus ke Masjidil Haram dan mendapat teks Whatsapp daripada seorang hamba Allah yang berhati mulia, dialah juga yang membantu Shafik mendapatkan visa sebelum ini, akan ada ustaz selaku Mutawwif yang akan guide Shafik melaksanakan umrah sekali lagi. Alhamdulillah, mungkin semalam ada perkara yang tidak dapat Shafik sempurnakan. In Sha Allah hari ini Shafik akan menebus kesilapan-kesilapan yang Shafik lakukan semalam. Selepas Asar Shafik bertemu dengan Ustaz Fahmi yang kebetulan berkelapangan membantu Shafik pada hari ini kerana baru selesai peperiksaan semester. Syukur, Ya Allah. Tidak perlulah Shafik nyatakan berapa harga membayar upah untuk menjadi mutawwif Shafik pada hari itu yaaa. Pada Shafik, harga sumbangan Ustaz Fahmi kepada Shafik mungkin lebih mahal jika dibandingkan dengan nilai upah. Ustaz bukan sahaja membimbing Shafik, malah banyak memberikan nasihat dalam hal-hal yang lain tentang umrah ini termasuklah soal kehidupan. Ustaz Fahmi terpaksa membawa Shafik keluar dari Tanah Haram untuk miqat di Masjid saidatina Aisyah, barulah kami boleh meneruskan tawaf yang kedua. Dari itu, Shafik sedar untuk melakukan umrah ini bukanlah suatu yang mudah. Alhamdulillah, selesai hari kedua dan segala kekeliruan telah diperjelaskan oleh Ustaz fahmi.

Hari ketiga.

Bertemu Syakir, Ibu dan Atika. Mereka mengajak Shafik untuk ziarah di sekitar kota Makkah. Alhamdulillah. Terdetik juga dihati untuk mengunjungi tempat-tempat yang penting dan menyimpan sejarah ketika pembentukan Islam di Mekah. Bersyukur rasa dipertemukan dengan keluarga ini, mereka sangat mengambil berat. Sebaik selesai solat subuh dan bersarapan, kami pun bersama Huda, keluarga Atika dan Ibu yang bekerja sebagai jururawat di Saudi. Turut bersama 2 orang rakan Huda mula bergerak untuk menziarahi tinggalan-tinggalan sejarah Rasulullah dan para sahabat seperti Gua Hira. Kemudian ke Padang Arafah tempat pertemuan Adam dan Hawa dan beberapa lokasi lain termasuk muzium simpanan barang-barang lama Masjidil Haram.

Padang Arafah

Pemandangan dari Padang Arafah


Bukit yang menempatkan Gua Hira


Mina, Lokasi melontar Jamrah pada musim Haji

Muzium yang menempatkan barangan lama Masjidil Haram

Pintu Kaabah yang lama


Hari keempat dan kelima berjalan dengan baik. Apa yang Shafik ingin mengingatkan di sini adalah cuba ubah persepsi kita terhadap setiap perkara yang berlaku di Tanah Haram. Allah Maha-pengasih dan penyayang, mendengar doa-doa hambanya. Allah cuma ingin memberikan peringatan kerana kita ini adalah manusia yang seringkali terlupa. Pada dasarnya, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya yang perlu kita kaji pada diri kita sendiri. Lebih baik kita tanya pada diri kita ‘apakah perkara ini mempunyai hubungkaitnya dengan kehidupanku?’. Itu lebih baik daripada kita menyebarkan suatu cerita yang tidak sahih berkenaan rumah Allah. Bukankah rumah Allah itu sifatnya suci. Allah sudah menjadikan kita tetamu untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Makanya, kita harus positif dan menjadi pelindung pada kesucian rumah Allah itu secara lisan atau pun sebaliknya.

Shafik selalu memohon kepada Allah semoga dapat solat di depan Kaabah.
Alhamdulillah, Allah memperkenankan doa shafik. Shafik berpeluang solat betul-betul di hadapan pintu Kaabah.


Shafik, Syakir, Ibu dan Atika 
Tidak ada isu “dibayar cash” dalam mendapatkan kereadaan Allah kerana setiap yang berlaku itu adalah atas kehendak Allah. Makanya, kita berdoa memohon dan berzikirlah ketika dilanda apa pun keadaan kerana Allah itu sifat-Nya Maha-mendengar. Andaikan Shafik datang ke rumah kalian, kemudian Shafik balik dan menulis di facebook dengan bunyi-bunyi yang kurang baik seperti “rumah dia semak, dia pemalas”. Apakah kawan-kawan menyukai itu? Begitu jugalah Allah. Makanya, peliharalah rumah Allah itu dengan cerita-cerita yang baik, bermanfaat atau memberikan rangsangan kepada orang lain secara positif. 



Setiba di Madinah Al Munawwarah.

Shafik tiba di hotel menaiki teksi lebih awal. Hotel yang Shafik tempah melalui Booking.com kali ini betul-betul berada dibelakang Masjid Nabawi. Alhamdulillah rasa bersyukur sangat. Mudahlah pergerakan Shafik, lebih relaks sebab hotel dekat untuk balik berehat, bersiap dan sebagainya.

Shafik sampai di Madinah sekitar 5 pagi, tepat azan Subuh. Ya Allah, hanya Allah yang tahu perasaan ketika itu. Shafik terus bawa luggage bag ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Subuh. Memandangkan Shafik belum jelas dengan lokasi sebenar hotel, Shafik cuba gunakan Uber untuk drop Shafik terus di hotel. Setiba di hotel, receptionist memaklumkan mereka hanya akan memberikan kebenaran untuk check in selepas solat Zohor. Jadinya buat sementara waktu Shafik tidurlah di lobby hotel sementara menunggu solat Zohor.

Sebelum solat Zohor, Shafik ambil sedikit masa menghafal semula Surah Dhuha. Shafik ada terbaca artikel yang mengatakan fadhilat Solat Sunat Dhuha sangat besar untuk dilakukan di Masjid Rasulullah ini. Rasulullah sendiri menjadikan solat sunat ini sebagai amalannya sebagai tanda terima kasih kepada Allah keatas kurniaan barokah (nikmat) hidup yang diberikan-Nya. Pada masa yang sama, Shafik pendamkan niat untuk melihat sendiri makam Rasulullah, tidak dapat melihat cukup sekadar kita merasa dekat dengan junjungan besar dan rasul yang terakhir ini.

Subahanallah, Allah permudahkan. Shafik ditegur oleh seorang hamba Allah dari Pakistan. Beliau sudah lama menetap di Madinah untuk bekerja. Beliaulah yang membawa Shafik ke makam Rasulullah. Beliau begitu gembira memimpin tangan Shafik sehingga ke barisan pertengahan. Mujur pada ketika itu, makam rasulullah yang selalunya sesak agak sedikit lenggang kali ini tetapi barisan masih juga panjang sehingga ke pintu keluar. Pasa ketika itu, airmata tidak tertahan kerana rasa syukur yang teramat.

Hajat kedua Shafik ialah ingin menunaikan solat sunat di Raudhah, juga dikenali sebagai taman syurga kekal di dunia. Raudhah terletak di antara mimbar dengan makam Rasulullah (dahulunya adalah rumah rasulullah).
Sabda Rasulullah;
“Antara mimbarku dan rumahku merupakan taman dari taman-taman syurga” -HR. Al Bukhari & Muslim

Shafik melihat peluang untuk solat di Raudhah Rasulullah agak tipis hari ini, melihat kepada kepadatan muslimin yang berebut-rebut mengejar fadhilat untuk solat di situ. Bagi mengisi sedikit masa yang terluang, Shafik melakukan solat sunat Dhuha dan membaca al-Quran di salah satu tiang di dalam masjid Nabawi berdekatan Raudhah. Sebak juga hati kerana Allah terasa begitu dekat dengan kasih-sayang Allah. Allah mempermudahkan semua untuk Shafik sehingga sampai ke sini dan dugaan-dugaan kecil yang Shafik hadapi itu, Shafik anggap sebagai cara Allah memberikan peringatan ada perkara yang Shafik mungkin terlupa.

Hari kedua.


Shafik nekad untuk bangun pada pukul 1.30 pagi untuk ke Masjid Nabawi menunaikan solat sunat di Raudhah. Sebaik bangun daripada tidur Shafik terus menyiapkan diri. Sempat mengintai dari cermin hotel. Subahanallah, muslimin dan muslimat sedang bergerak ke Masjid seawal ini. terdetik di dalam hati, hebatnya fadhilat berada di Masjid Nabawi sehingga semua orang terkejar-kejar untuk mendekatkan diri kepada Allah dan Rasulullah di sini. Tanpa berlengah Shafik terus menuju ke Masjid dalam keadaan cuaca yang sejuk pada ketika itu.

Setiba di Masjid, Shafik lihat Raudhah sudah mula dikerumuni oleh muslimin tapi tidak sesesak siang tadi. Walaupun sesak tapi Shafik nekad untuk meneruskan niat. Sudah bangun awal-awal subuh, rempuh pun rempuhlah. Asalkan niat terlaksana. Dari belakang Shafik terus melihat jauh ke hadapan mencari di mana Raudhah. Tapi terdetik di hati Shafik untuk pandang ke bawah. Subahanallah, rupanya Shafik sudah pun berada di hadapan baris terakhir karpet hijau yang menjadi sempadan antara Raudhah dan Masjid Nabawi. Perasaan pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sekali lagi keajaiban berlaku, kuasa Allah begitu hebat. Selalu mendengar doa hambanya. Shafik terkejut dan bersyukur kerana berpeluang untuk menunaikan solat sunat di Raudhah.

Perantara Masjid Nabawi dengan Raudhah.
Ada beberapa ingatan buat rakan-rakan dan juga siapa pun yang mungkin berpeluang untuk memunaikan solat di Raudhah ini. Ada beberapa penulis blog yang Shafik terbaca, mereka memberikan pendapat cara untuk berada (solat) lebih lama di Raudhah. Mungkin, setiap orang ada matlamat masing-masing demi mengejar fadhilat berdoa lebih lama atau solat lebih dari dua atau empat rakaat. Namun, cuba letakkan diri kita di tempat orang yang berada di barisan belakang, bertolak-bertarik menunggu giliran untuk mengambil tempat di Raudhah. Ada juga yang dilangkah dan dipijak semasa solat demi mengejar cinta Allah dan Rasul. Apa perasaan kita? Ingatlah semua, Allah itu Maha-mengetahui. Shafik percaya semua orang menginginkan yang terbaik dalam melaksanakan ibadah atau mengejar fadhilat untuk berada di tempat ganjaran pahalanya sangat besar seperti Raudah. Justeru itu, buangkan perasaan mementingkan diri dalam apa pun yang kita lakukan, fikirkan juga perasaan orang lain. Mungkin mereka juga menyimpan hasrat yang sama seperti kita. Makanya, bersikap tidak mementingkan diri sendiri itu juga pastinya menjadikan doa-doa kita itu menjadi berkat kerana ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan. Allah pasti memberikan ganjaran yang sangat banyak sekiranya kita selalu ikhlas kerana Allah, kepada diri kita dan kepada orang lain. Percayalah Allah akan lebih sayangkan kita.

Sebaik selesai solat subuh, Shafik ternampak beberapa orang lelaki berdiri di tepi jalan memanggil-manggil Jemaah yang baru selesai solat. Mereka menyahut “Ziarah, ziarah, ziarah”. Shafik mendekati salah seorang daripada mereka dan bertanya berapa kos untuk ziarah di Madinah. Beliau memaklumkan kos untuk ziarah di sekitar Madinah adalah 100 Riyal. Sedap jugalah hati dengar, ini bermakna Shafik adalah peluang untuk ziarah di sekitar Madinah terutamanya Masjid-masjid utama seperti Masjid pertama yang dibina Rasulullah iaitu Masjid Quba.



Sekitar pukul 2 petang waktu Saudi, Shafik bersiap sedia dan terus menuju ke lokasi teksi yang akan membawa Shafik Ziarah di sekitar Madinah tadi. Setelah berbincang lokasi dan tawar-menawar, pemandu bersetuju untuk meletakkan harga 80 riyal untuk melawat ke 4 lokasi di sekitar Madinah iaitu Masjid Quba, Jabal Uhud,  Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh. Alhamdulillah, terlaksana hasrat untuk melakukan ziarah dan solat tahiyatul masjid di semua masjid-masjid ini.

Masjid Quba.
Masjid Qiblatain.

Masjid Tujuh.
Padang Arafah

Hari yang ketiga.

Selepas menunaikan solat Subuh di Nabawi buat kali terakhir, Shafik menuju ke Prince Mohammad Bin Abdul Aziz Airport sekitar pukul 8 pagi. Shafik akan menaiki penerbangan Saudi Arabian Airlines untuk ke Jeddah. Mujur jugalah Shafik transit selama 8 jam di airport berkenaan. Rupanya Shafik perlu berpindah dari King Abdul Aziz Int. South terminal ke airport yang lain. Ini kerana South terminal ini hanya untuk penerbangan Saudi Arabian Airlines sahaja. Makala, penerbangan yang lain perlu ke King Abdul Aziz North Int. Terminal (penerbangan Malaysia Airlines dan lain-lain seperti Qatar dan Emirates). Kemudian, 25 minit perjalanan ke Aiport King Abdul Aziz Int. Aiport North Terminal Shafik berkenalan pula dengan adik-beradik yang datang dari Semenanjung. Ceritanya sama, mereka datang berdua tanpa agensi Umrah. Sepanjang masa kami bersama-sama bagi memudahkan kami solat dan berkongsi informasi penerbangan.

Syukurlah Shafik sentiasa diberikan kekuatan untuk tidak malu bertanya dan berkenalan dengan orang-orang disekeliling. Tiba waktu untuk check-in di kaunter Malaysia Airlines, staff bertugas memaklumkan yang kami datang ke airport yang salah dan kaunter itu hanya untuk penumpang yang memegang passport lawatan komersial. Manakala, penumpang yang memegang Visa Umrah pula perlu ke Terminal Hajj lebih kurang 25 minit perjalanan dengan teksi dari airport tersebut. Berlari-lari kami keluar mencari teksi untuk membawa kami ke Terminal Hajj, King Abdul Aziz Airport. Ya Allah, lucu jika diingatkan pada masa itu. Mujurlah, kami merancang untuk check-in bagasi pada pukul 5 petang sebaik kaunter dibuka.

Abang dan Kakak yang berhati mulia.
Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan Allah. Kami telah pun berjaya sampai ke airport yang betul dan ramai rombongan-rombongan umrah yang lain berada di situ. Sebaik tiba, kakak dan abang siap tolong tarik dan angkat bag Shafik untuk di check-in kan. Mulia hati mereka berdua. Berada di boarding hall untuk menantikan penerbangan pulang kami ke Malaysia dengan rasa penuh kesyukuran. Penerbangan Malaysia airlines dari Jeddah ke Kuala lumpur berlepas sekitar pukul 9 malam.

Alhamdulillah, dengan Nama Allah yang Maha pengasih dan penyayang. Shafik amat bersyukur dengan pengalaman yang Allah kurniakan ini. Semua ini amat berharga dan pastinya tidak akan pernah padam dalam memori kehidupan Shafik. Allah telah membuktikan keEsaan-Nya kepada Shafik dengan cara ini. Tidak ada perasaan lain yang dapat menggambarkan rasa syukur Shafik dengan apa yang Allah berikan ini. Sehubungan dengan itu, Shafik selalu berdoa semoga Allah menetapkan hati Shafik yang lemah ini dan sekiranya Shafik melakukan Khilaf pada masa lalu, masa ini dan masa akan datang, semoga Allah bukan pintu hati Shafik untuk menerima taufik dan hidayah-Nya.

Terima kasih di atas kesudian kalian membaca cerita perjalanan Shafik ini. Semoga Allah selalu merahmati kita semua, memberikan kita rezeki yang baik, kehidupan yang diredai-Nya, kesihatan yang berpanjangan dan menjadikan impian setiap daripada kita satu kenyataan. Amin ya Roobal alamin…



Comments

  1. Subhanallah fik.. ���� mcm baca novel pun ada, mcm tgok movie pun ada, sedar ini realiti pngalaman ko, mengalir juga air mata..dugaan2 kecil ko tu bikin bdebar juga jantung, confirm klau aku mmg nangis bila sesat d tmpt org, hotel x jumpa, confirm gugur jantung ku..haha syukur alhamdulillah fik.. slmt pergi dn slmt smpai..mmg inspired ����

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah pik, dipermudahkan urusanmu di sana.

    ReplyDelete
  3. terimak kasih di atas perkongsian... banyak panduan yang dapat di ikut dan membuka minda kita sebaiknya... penceritaan jua dapt membawa kita seolah2 berada di sana... teruskan berkarya...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Beranilah Ketika Kehilangan.

Disneyland di Hong Kong.

sehari di Bandung